Tuesday 26 July 2016

Mengikut takdirNya

Perjalanan hidup mengikut takdriNya.
Malam siang,
semua berjalan dengan aturan Tuhan.
Jatuh bangkit,
semua atas hendakNya.
Pertemuan perpisahan,
berlaku kerana iradahNya.
Lama tidak bertemu,
ditemukan semula,
melihat pencapaian yang telah dicapainya
aku berfikir
mana aku kini?
Lama tidak bersua,
ditemukan semula,
pada waktu yang paling tidak disangka.
Selama ini engkau hanya hadir
kalau aku lena,
kini kau hadir
kala aku jaga.
Setiap pertemuan,
perpisahan menyusuli.
Engkau hadir hanya sebagai bayang,
melengkapi pagi ku
yang sedang disinari cahaya.

Wednesday 20 July 2016

Sebuah doa

Saat wajahmu selalu menyinggahi
benak fikiranku,
aku tahu,
engkau hanya ingin kan
satu benda dariku,
sebuah doa,
doa tulus ikhlas,
dari seorang kekasih
masa silammu.
Biar doa ini,
menjadi sebuah ikatan
yang tidak kelihatan
diantara kita,
tetapi disaksikan
oleh Yang Maha Esa
dan Yang Maha Berkuasa.

Mimpi yang seakan realiti

Malam itu aku bangun, terkedu dari mimpi yang ku alami. Hujan petir menemani kekeliruanku. Mengapa semakin aku ingin melupakan, semakin kerap dia hampir menghantui? Mengapa semakin aku ingin lari jauh, semakin dekat dia mendekati? Mimpi itu seakan sebuah realiti. Aku diberi tiga perspektif. dari sudut cerita aku, cerita dia dan ceritanya. Senyuman dia tawar. Aku bahagia. Bahagia dalam tangisan yang ku sembunyikan. Tapi, senyuman tawarnya diikuti dengan perasaan yang dahulu. Aku keliru. Mungkin mengiakan kenangan lama, tetapi mengharungi cerita hari ini. Sebab itu, senyuman dia tawar. Aku mungkin faham apa yang cuba ingin disampaikan. Namun, hatiku menjadi tidak tenteram. Aku terduduk lama dari tidurku. Aku berfikir. Fikir apa yang terjadi dalam dunia mimpi itu. Aku yakin ini bukan mainan tidur. Kerna ia sangat terasa seperti sebuah realiti sehingga seakan mustahil untuknya menjadi sebuah fantasi. Aku redha. Aku tawakkal. Aku bingkas bangun pergi mengambil wudhu dan mencari semula ketenanganku melalui tahajjud padaNya.

Tuesday 12 July 2016

Perfect hands

Your hand fits in hers perfectly like its made just for her.

Tuesday 5 July 2016

Mimpi

Bagai mainan tidur
asyiknya dirasa
saat engkau lena
namun kala matahari menyinari
engkau mula menggeliat
enggan berputus dengan keindahan
yang engkau rasai
didalamnya.
Oh indahnya mimpi,
engkau terangkat dari kenyataan
hanya dibuai kecantikan
yang sayangnya
tidak akan kekal
pasti hilang
saat kau sedar.

Monday 4 July 2016

bulan dan matahari

Bagai bulan dan matahari
dua jiwa yang tidak akan bersatu
terpisah dek jarak dan zaman.

Sunday 3 July 2016

Menghitung hari

Menghitung hari
Saat permata yang ku buang kerna difikirnya kaca
berubah tangan kepada pemilik yang baru.
Harga yang harus ku bayar
atas kebodohan sendiri
mana sanggup orang membuang permata
ke tempat paling keji
sedangkan nilainya terlalu tinggi.
Terlalu cepat engkau menghukumnya kaca
sedang belum engkau telek dengan teliti.
Luaran seakan sama
tapi dengan mata hati
sungguh dia permata yang paling menyinari.
Ku mula berkira-kira,
menanti penuh debar,
saat engkau menjadi seindah indahnya,
saat engkau berkilau bergemerlapannya,
menyinari hidup si pemilik baru.
Saat itu,
aku tahu
aku sekelam kelamnya
bersembunyi dicelah celah sempit
agar tidak melihat dan dilihat
betapa airmata deras mengalir
ku tepukkan tanda gembira
kerna permata itu tidak lagi sendirian
mengharungi kejinya tempat dia aku buang.
Kini dia bahagia.
Aku turut bahagia
bersama luka semalam.

Tuesday 28 June 2016

Sembuh

Ya Allah,
sembuhkanlah sakit
zahir dan ma'nawi
yang sedang kurasa ini.

Kehendak Tuhan

Perginya dia
kehendak Tuhan.
Datangnya dia,
kehendak Tuhan.
Tidak terfikir, ini pengakhirannya.
Tidak terfikir, tragis sebegini.
Kehendak Tuhan
mengatasi segalanya.
Pengakhiran ini bukan
permintaan kami,
namun rencana Tuhan Yang Maha Mengetahui.

Di kepekatan malam,
di atas sejadah ini,
aku mengadu,
pada Yang Satu.
Ajarilah aku erti redha.
Ajarilah aku erti kekuatan.
Ajarilah aku erti tawakkal.
Ya Tuhan.

Ya Tuhan,
bukan aku ingkar takdirMu,
namun aku masih insan lemah,
yang Kau kata pasti diuji,
untuk Kau tahu,
siapa yang ikhlas disisiMu.
Bukalah hatiku ya Tuhan,
agar mudah untuk aku menerima,
kesudahan ceritaku ini,
bahawasanya,
dia bukan milikku.

Sunday 26 June 2016

Waktu tak akan kembali

Engkau tanya pada waktu,
mengapa begitu laju dia berlari,
seakan sengaja,
ingin meninggalkanku,
tenggelam,
terkapai-kapai,
dilautan masa semalam.

Thursday 9 June 2016

Maafkan aku

Memang benar, bila ingin menyibuk  hal orang lain, sanggup dilakukan apa saja untuk mendapatkan berita. Tetapi tiada keikhlasan. Yang ada hanyalah penipuan. Tersenyum dihadapan kita tetapi mengata dibelakang. Mempamerkan malaikat tetapi menyembunyikan syaitan dibalik topeng. Bukan hendak mengata kurang ajar tetapi itulah mereka. Disaat gembira, hadir menampakkan muka, tetapi bila kita dirundung pilu dan sedih, batang hidung langsung tidak kelihatan. Adakah ini kesetiaan? Tidak sama sekali. Adakah ini teman? Tidak juga. Maafkan aku. Bukan ingin menjauh namun aku ada hak untuk memilih siapa yang patut hadir dalam lingkungan ku.

Friday 20 May 2016

Tidak disangka

Tak sangka. Bila segala perancangan dibangku sekolah berubah bila bertemu pasangan masing-masing. Tapi lebih tidak disangka, waktu pernikahannya sama. Ya Tuhan. HikmahMu mengatasi segala perancangan hambaMu ini. Ya Tuhan, indah penetapan yang telah Engkau tetapkan. Moga hati kami meredhai.

Monday 25 April 2016

Keasyikan

Keasyikan. Hati diwarnai keindahan cinta. Yang merasa pasti memahami. Yang belum juga pasti pernah memahami akan definasi cinta. Seawal umur hingga setuanya semua memahami. Apa itu cinta.  Andai bercinta juga masih memerlukan syarat, itu belum lagi dinamakan cinta. Asyik menyemai rasa kasih. Kasih sebenar dengan Illahi. Kasih hakiki yang tidak akan mati. Sungguh aku hairan, mana mungkin manusia kejam. Sedang dunia ini penuh kasih sayang. Aku juga musykil bagaimana si bengis boleh menyinga sedangkan banyak malaikat yang mengelilingi. Engkau kata aku kolot bila bicara tentang cinta. Sedang engkau yang kolot tidak mengerti erti sebenar menjadi manusia. Dicintai dan sedia menyintai. Engkau rugi. Pergilah belajar erti cinta sebenar. Agar hati dan hidup kau lebih terpandu kepada Yang Satu. Cinta sebenar ada bersama Tuhan yang Esa. Cinta yang realiti hanya dapat disemai bila mata dibuka dan difahami dengan hati.

Sunday 24 April 2016

Tipu lara dunia

Tipu lara dunia. Terlihat mereka senyum tapi hakikatnya hati penuh gurisan berdarah dek tohmahan si durjana. Terlihat mereka miskin, tetapi hakikatnya hati mereka selalu qanaah dengan pemberian Tuhan dan sesungguhnya mereka lebih kaya dari si kaya yang penipu. Indahnya menjadi sang buta. Yang melihat menggunakan mata hati akan keindahan Sang Pencipta. Dan betapa ruginya si manusia angkuh yang hanya melihat kerosakan yang mereka lakukan diatas tangan sendiri. Hidup penuh hipokrasi. Hidup penuh tipu daya. Entah siapa lagi yang harus dipercayai, hanya Tuhanku saja yang sentiasa disamping diri. Airmata darah sekalipun, apa yang boleh aku buat? Nasi sudah menjadi bubur. Dunia sudah nazak, manusianya sudah mati, hanya tinggal bintang buas yang tiada hati perut. Disangkanya makanan yang lazat, cuma hanyalah suatu manifestasi khayalan mereka. Yang ada hanyalah bangkai. Sampai bila harus kita bermandian pujian yang hanyalah cacian dibalik wajah manis. Hati penuh hasad. Hati penuh dengki. Inikah manusia yang cuba engkau sifatkan?! Hanyalah binatang bertopeng wali. Manis bicara, busuk hati di dada.

Aku penat untuk terus merengek bagai si bayi, mengharapkan terhentinya muslihat yang dilakukan mereka. Walau lantang kataku, tidak pernah didengari. Sungguh dunia sudah digelumungi fitnah. Sungguh kerajaan syaitan semakin membesar. Memayungi tentera angkatan mereka. Benar, mati lebih aku idamkan dari terus termandi dengan rintikan hujan fitnah. Ya Tuhan. Selamatkan kami.

Thursday 21 April 2016

Terima kasih Tuhan menemani

Dalam kesibukan tawa ria manusia, aku pergi meninggalkan tanpa kesan. Tanpa disedari mereka. Aku mengerti akan asal usul ku. Aku mengerti akan jalan cerita hidupku. Tiada siapa yang berani mampir. Semakin aku menghampiri semakin mereka meminggir. Bukan hendak mengeluh dengan ketentuan Tuhan. Aku redha. Hati manusia siapa yang boleh ubah. Mereka tertawa keriangan. Jauh aku duduk melihat gelagat manusia. Cintakan pangkat. Cintakan keramaian. Mereka lupa, adanya sesuatu yang menanti. Adanya sesuatu yang Memerhati. Aku tidak pernah kesunyian walau selalu dipinggirkan, malah kerna adanya Tuhanku bersama, akulah manusia paling bahagia. Tuhanku tidak pernah meminggirkan walau dalam kesibukan keramaian. Tuhanku selalu ada. Menemaniku setiap masa. Tuhanku yang patut engkau cemburui, bukan aku cemburui keramaianmu. Terima kasih Tuhan.

Sunday 7 February 2016

Zahir nampak tenang, tapi batin meronta

Bismillahirrahmanirrahim

Kehidupan. Tak semua yang kita impikan menjadi suatu kenyataan. Engkau. Aku. Dia. Semua impikan sebuah kebahagiaan bagai sebuah istana dipenuhi keemasan. Bukan tamak kepada harta dunia tapi itulah hakikat manusia yang suka pada benda yang mendamaikan. Bagai sebuah istana yang cantik zahirnya, tiada siapa tahu kesunyian didalamnya. Hanya si penghuni saja yang tahu betapa harta bukan segalanya. Betapa kedamaian yang sebenar adalah yang diidamkan setiap anak cucu Adam. Kadang, manusia terlalu menghukum dari zahir hingga mereka lupa adanya batin untuk dinilai. Setiap jendela diterangi lampu, tidak semestinya ia sebenarnya menyinari seluruh rumah itu. Bagai ditusuk keluarga sendiri, tiada siapa dapat diharapkan. Ditiupkan semangat dari Tuhan untuk terus melangkah. Walau lemah, digagahi jua. Baru kini dia sedari, bukan manusia yang menilai, bukan manusia juga yang boleh disandar, tetapi hanyalah Tuhan Yang Satu yang berhak dipinta. Moga kekuatan yang dititipkan dapat menjadi pembakar semangat si manusia yang sedang mencari kedamaian. Ya Tuhan.

Saturday 23 January 2016

Ibrah Aqabah


Berjalan mencari ibrah, dengan niat merapatkan silaturrahmi. Alhamdulillah atas ni'matMu ini ya Tuhan. Walau hati ini tercalit sedikit kedukaan namun kebahagiaan yang dirasa mengatasi segalanya. Ibrah untuk bersyukur diatas segala ni'mat yang dipinjamkan dan selalu bersyukur tanpa mempersoalkan mengapa tiadanya sesuatu pada kita. 

Sewaktu di stesen bus hendak pulang ke Amman, terlihat seorang pakcik yang sudah uzur terduduk lesu sambil lengannya penuh dengan rantai yang dibuat dari kerang yang dikutip dari pantai, Dari wajahnya terlihat wajah seorang ayah yang sibuk mencari rezeki untuk anak-anaknya. Ya Allah. Jika aku berada ditempatnya belum tentu aku cukup tabah untuk melalui semuanya. 

Lalu aku pun menghampiri pakcik itu menanyakan harga rantai jualannya, dengan nada yang penuh lembut dan lesu, dijawabnya perlahan, 'sedinar anakku.' ya Allah, seingat aku ada dalam 8 utas rantai dilengannya dan sehari belum tentu terjual semua itu. Kalau dijual hanya mendapat sedinar sahaja. ya Allah. aku sungguh malu. Malu dengan Tuhan yang memberikan rezeki padaku namun kurangnya bersyukur. Memberikan rezeki pada hamba yang alpa. aku sungguh malu. Aku pun memintanya 3 utas untuk dijadikan cenderhati dari aqabah. Bila aku berikan 3dinar padanya, nampak jelas sangat terukir senyuman yang sungguh lebar menggambarkan betapa bahagianya dia. ya Allah, sekali lagi aku bagaikan dikejutkan dari mimpi. Bila kita semua sibuk membeli barang 'branded' untuk diperagakan, untuk 'show-off' pada orang lain, ada manusia lain yang sibuk mencari walau sedinar untuk memberi makan anak-anaknya. sungguh, aku tertunduk malu. 

Dengan perasaan yang penuh kasihan padanya, aku terus pergi ke kedai dengan temanku untuk membelikannya sedikit makanan dan air. Bila diberikan padanya, ternampak sangat, sungguh jelas terpancar kegembiraan diwajahnya. Terus dimakan shawerma yang dibeli. Dari jauh aku lihat, sungguh nampak jelas lapar pakcik ni. ya Allah, aku insaf. 

ya Allah, jadikan kami antara mereka yang selalu bersyukur dengan segala ni'mat yang Engkau pinjamkan pada kami. Limpahkanlah kurniaMu pada mereka yang memerlukan, sungguh Engkau Maha Pengasih lagi Maha Pemurah. Ameen.


Laut merah Aqabah yang berhadapan dengan tanah Palestine yang diambil Israel dan dimajukan dan dipanggil sebagai negeri 'Israel'.