بسم الله الرحمن الرحيم
Tiada keindahan yang dapat mengalahkan keindahan yang dicipta Allah. Tiada kegembiraan dapat menandingi kegembiraan bertemu denganNya di akhirat kelak. Tiada kesepian yang lebih dirasakan dari sepi tanpa rasa hangat cintaNya. Tiada hati yang tenang dapat digapai melainkan dengan selalu mengingatiNya.
Alhamdulillah segala puji bagi Allah Rabb seluruh alam, yang mentadbir dunia dan seluruh isinya. Tiada tadbir dapat menyaingi takdir dan ketetapan yang telah direncanakanNya.
ومكروا ومكر الله والله خير الماكرين.
Sesungguhnya kita merancang dan Allah jua merancang, dan Allah lah sebaik baik Perancang.
Tika diri ini pinta untuk diajari erti kesabaran, diberiNya dugaan untuk ditempuh. Dan tatkala diri kerdil ini minta ditunjukkan erti sebenar redha, diberi cubaan supaya diri ini mengerti. Mungkin sahaja apa yang diminta tidak ku dapati tetapi sesungguhnya lebih dari itu yang ku dapati.
Keinginan yang sangat mendalam untuk menuntut ilmu di bumi anbiya' mengajarku erti cinta kepada sebuah tempat yang belum ku jejaki. Mengajarkan ku erti rindu kepada ilmu dan pemberi ilmu yang belum kutemui. Selain itu, mengajarkan ku jua erti bersungguh sungguh untuk meraih apa yang kuingini dengan keredhaanNya.
Namun begitu, seperti yang telah diberitahuNya, sesungguhnya Dia lah yang Sebaik baik Perancang. Tatkala diri ini akur akan ayat sucinya حسبنا الله ونعم الوكيل. Yang bermaksud, hanya Engkau cukup bagi kami dan Engkaulah sebaik baik Pengatur rencana bagi kami. Ku akur, secara tidak langsung, diri ini seakan sudah mengangkat sumpah untuk redha dengan segala apa yang direncanakanNya. Namun, kelalaian diri dan lekanya diri kadangkala membuatku merungut akan sesuatu musibah yang berlaku. Kadang apa yang direncanakan tidak terjadi tetapi sebenarnya Allah sedang memberikan jalan yang lebih baik bagi diri ini. Cuma kejahilan diri dalam memahami hikmah di sebalik sesuatu kejadian membuatkan daku selalu merungut. Terkadang aku menangis. Ku tahu hati yang beriman tidak sepatut bereaksi sebegini, namun diri ku yang masih jahil terus menangis meratapi apa yang terjadi. Alhamdulillah, umi ayah yang selalu memujukku untuk kembali bangun. Usah meratapi tetapi sebaliknya mensyukuri kerana Allah sayang diri ini. Allah hendak yang terbaik buat daku. Allah hendak ajari diriku erti redha yang selama ni ku tercari cari. Allah hendak ajari daku erti kesabaran yang sering ku meraba di segenap penjuru mencari tiada henti. Allah mengajari ku lebih banyak dari luka yang satu yang ku rasa.
Ya Allah, penundaan ku untuk pergi ke bumi anbiya, banyak menunjuk ajarku erti kehidupan. Soal dalaman yang tidak dapat ku petik dari mana mana buku teks. Ku akur,kelemahan ku tidak dapat sesekali menandingi kekuasaanNya. Sebab itu, ku tunduk kembali kepada rencanaNya. Engkau Lebih Maha Mengetahui ya Tuhanku. Ku pasti, ini yang terbaik buatku! :')
No comments:
Post a Comment